20/05/2021

KANGAR, 20 Mei. - Pesta Angin Timur edisi 2021 yang akan disiarkan secara maya pada 4 dan 5 Jun nanti  dijangka mampu menarik 30,000 penonton.

Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man berkata acara tahunan anjuran bersama  Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bersama kerajaan negeri itu terpaksa disiarkan secara maya menerusi laman Facebook Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Perlis  dan JKKN TV bagi membendung penularan wabak pandemik COVID-19.

"Pelbagai aktiviti dan acara telah dibuat melibatkan 22 jenis aktiviti dan acara yang disediakan sepanjang dua hari ia diadakan," katanya kepada media di sini, hari ini.

Katanya ia akan dirasmikan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri bersama Azlan pada 4 Jun depan.

Dalam perkembangan lain, Azlan berkata sehingga kini  tiada keperluan bagi Perlis mencadangkan kepada kerajaan pusat bagi melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) walaupun terdapat  kluster baharu iaitu Kluster Jalan Kampung Bakau.

"Keadaan di Perlis masih belum kritikal...saya harap rakyat terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh kerajaan," katanya.

Sehingga semalam, Perlis telah merekodkan enam kes baharu positif COVID-19 dengan kes terkumpul sebanyak 399 kes termasuk tiga kematian. - ©BERNAMA

http://www.pelitabrunei.gov.bn/Lists/Global/NewDisplayForm.aspx?ID=6333&ContentTypeId=0x0100528FF2B7B422AA4CB5558A766E857876